29 October, 2011

PEMUDA YANG DERHAKA KEPADA AYAHNYA

Seorang  lelaki tua menemui Nabi Muhammad SAW untuk mengadu hal kehidupannya. Dia berkata, “Ya Rasulullah, anakku seorang yang kaya.Dia mempunyai gudang gandum dan kurma. Dia sering berbuat baik kepada semua orang. Akan tetapi, dia tidak mahu membantuku malah, dia mahu menghalauku dari rumahnya.”
            Baginda meminta para sahabat untuk menasihati pemuda itu.Tetapi, pemuda itu memberi alasan, “Aku tidak mempunyai banyak harta untuk menjaga ayahku. Aku ini miskin!”
            Lalu, baginda memerintahkan para sahabat supaya menyediakan tempat tinggal dan sedikit keperluan untuk lelaki tua itu.
            Pemuda yang menyangka terlepas daripada tanggungjawab sebagai anak pun pergilah ke gudangnya. Alangkah terkejutnya dia apabila mendapati kurmanya telah dimamah ulat. Hanya biji-biji kurma yang tinggal. Bergegaslah dia           ke gudang gandumnya pula. Alangkah terperanjatnya dia apabila melihat gandumnya juga dimakan ulat. Tidak lama selepas itu, pemuda itu jatuh sakit. Ketika hendak pergi berubat, dia melihat duit-duitnya telah bertukar menjadi tembikar yang tidak bernilai.
            Hari berganti hari. Bukan sahaja, penyakitnya menjadi semakin parah tetapi hartanya habis semuanya.Semua orang tahu kemiskinan dan penyakitnya terjadi kerana sikapnya yang derhaka. Salah seorang daripada sahabatnya berkata, “Inilah akibatnya apabila kita menderhaka kepada ibu bapa. Dia merasakan bahawa dia boleh membeli syurga dengan kekayaan yang dimilikinya. Padahal, tempat orang yang berdosa besar adalah neraka Jahanam!”.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...